UJIAN... Jika ujian di bangku sekolah dapat jua dihafal formula-formula untuk melaluinya. Namun yang bernama ujian hidup adalah yang datang tanpa salam, tanpa diundang. Datangnya dengan kehendak Ilahi yang mahukan manusia memaknakan kehidupan dengan menggunakan akal berbataskan keimanan. Demikianlah didikan Allah. Memanusiakan seorang manusia!
SABAR... Bukan mudah untuk memahami erti sabar apatah lagi untuk melakukannya. Saat derita menjengah rasa, seakan kita sahajalah yang derita. Kita sahajalah yang terluka. Duka itu milik kita. Sedih itu juga milik kita, sehingga kita terlupa untuk mensyukuri nikmat Allah yg lainnya. Nikmat Allah yang begitu melimpah ruah jarang disyukuri tetapi bila didatangkan ujian, melaralah sekeping hati. Itu sahaja yang diingat-ingatkan. Demikianlah resam insani.
REDHA... Tidak diuji hambaNya dengan ujian yang tidak mampu ditanggung. Rebah, jatuh dan terduduk, semuanya mengajar kita untuk bangkit kembali. Sedang walangnya hati tertanya bagaimana untuk bangun?? Ya... hanya kekuatan sahaja yang mampu menarik... Maka yang bangun itu bukanlah diri yang lemah. Yang bangun itu adalah jiwa yang kuat. Redha itu adalah menerima dengan lapang dada biarpun tangisan menitis tanpa hentinya namun bertahanlah. Tangisan itu tidak apa-apa malahan menunjukkan kita hanyalah hambaNya yang lemah. Serahkan segala urusan pada Dia.
SYUKUR... Alhamdulillah segala pujian hanya selayaknya untuk Allah. Hari semalam yang berlalu, biarkanlah. Hari ini yang dilalui, nikmatilah. Hari esok bakal tiba, bersedialah. Allah sentiasa memberi yang terbaik untuk hambaNya, maka kita sebagai hambaNya berkejaran lah mencari yang terbaik itu dengan segala usaha dan bermacam cara yang diredhaiNya. "Fastabiqul khairat" pesanNya. Jika berlari itu kemudiannya jatuh maka bangkitlah kembali. Tidak mengapa jika tidak ada tangan yang menghulur bantuan kerana ada 'tangan' yang lebih membahagiakan. Letaklah kebergantungan kepada Allah SWT. Semoga hidup sentiasa diberkati dan dibimbing untuk mencari wangian Jannah. Semoga beroleh kebahagian dalam mencari warna cinta Ilahi.
note : HAWA kan kuat!
No comments:
Post a Comment